Seni muzik keroncong bermula pada kurun ke-16 apabila Portugis menawan Melaka . Orang Portugis memperkenalkan pengaruh muzik Latin kepada orang-orang Melayu dan seterusnya dikongsi bersama jiran-jiran mereka iaitu orang Jawa di Indonesia .
Perkembangan muzik Malaysia agak lembab jika dibandingkan dengan Indonesia , lebih-lebih lagi dengan kebanjiran muzik-muzik moden dari Barat . Tokoh-tokoh keroncong seperti Tan Sri P.Ramlee , Johar Bahar , Dr. Ariff Ahmad dan Wawang Wijaya telah pun meninggal dunia , sementara tokoh-tokoh yang masih ada seperti Abdullah Safri dan Mahzan Manan telah mencapai usia 'senja' .
Oleh itu , seni muzik keroncong ini perlu dibangkitkan dan generasi muda haruslah menjadi penerus warisan yang amat berharga ini . Jika dilihat anak-anak muda sekarang , kebanyakannya meminati dan menyanjungi muzik-muzik moden Barat yang sememangnya berbeza sama sekali dengan budaya kita . Sekiranya hal ini berterusan , tidak mustahil warisan keroncong ini akan hilang dan terus lenyap dalam kalangan masyarakat kita .
Alhamdulillah , muzik keroncong kini semakin mendapat perhatian ramai apabila persembahan keroncong dipersembahkan di Dewan Filharmonik Petronas , KLCC pada awal bulan Jun 2010 . Harapan saya , semoga seni muzik keroncong ini terus mendapat perhatian dan lebih banyak generasi muda seperti saya yang meminati warisan ini sekaligus meneruskan perjuangan tokoh-tokoh keroncong .

No comments:
Post a Comment